Thursday, July 11, 2013

Tanda Awal Anda Hamil!

pregnant morning sickness
Sebagaimana yang telah saya maklumkan dalam entry Sihat dan Aktif Ketika Hamil, saya kini hamil hampir 5 bulan. Ada beberapa orang rakan yang bertanya bagaimana saya tahu saya hamil di awal kehamilan dulu. Jadi, di sini saya kongsikan beberapa tanda awal kehamilan. Setiap orang mungkin mengalami tanda yang berbeza, ada yang tidak mengalaminya langsung kecuali kelewatan haid. Saya ada mengalami beberapa tanda di bawah.

Ini saya ambil dari BabyCenter, 10 tanda kehamilan:

10) Tidak suka pada makanan
Di awal kehamilan, satu kebiasaan jika anda berasa tidak selesa dengan bau atau aroma sesetengah makanan. Sebabnya tidak diketahui, tetapi ia mungkin kesan daripada peningkatan hormon estrogen dalam badan. Kadang-kadang bau makanan yang sebelum ini menjadi kegemaran anda juga boleh menjadikan anda tidak selesa.

9) Emosi tidak stabil
Ketidakstabilan emosi (mood swing) juga biasa berlaku, disebabkan oleh perubahan hormon yang memberi kesan kepada paras neurotransmitter (chemical messenger dalam otak). Setiap orang melalui pengalaman berbeza, ada yang mengalami peningkatan emosi sama ada baik atau sebaliknya. Ada yang berasa tertekan atau gelisah.

8) Kembung perut
Perubahan hormon juga boleh menyebabkan anda mengalami perut kembung sebagaimana yang dialami sebelum datang haid.

7) Buang air kecil lebih kerap
Perubahan hormon menyebabkan peningkatan kadar aliran darah melalui buah pinggang. Ini menyebabkan pundi kencing lebih cepat penuh dan anda terasa ingin membuang air kecil dengan lebih kerap berbanding sebelumnya. Ini akan berterusan dan mungkin lebih lagi apabila usia kandungan semakin meningkat disebabkan oleh peningkatan kadar aliran darah dan juga tekanan bayi ke atas pundi kencing.

6) Keletihan
Terasa penat atau sering mengantuk? Itu adalah salah satu tanda awal anda hamil. Ini mungkin disebabkan oleh peningkatan mendadak hormon progesteron. Mual (morning sickness) dan kerap buang air kecil juga boleh menyumbang kepada keletihan yang anda alami.

Anda akan lebih bertenaga apabila kandungan memasuki trimester kedua. Bagaimanapun, apabila memasuki trimester ketiga keletihan itu mungkin akan kembali disebabkan keadaan fizikal dan berat badan yang semakin meningkat.

5) Buah dada membengkak
Di awal kehamilan, buah dada mungkin akan menjadi lebih sensitif dan terasa sakit disebabkan oleh perubahan hormon. Keadaannya sama seperti sebelum anda datang haid, jika anda pernah mengalaminya. Walaubagaimanapun, keadaan ini akan beransur hilang selepas trimester pertama apabila tubuh anda sudah menyesuaikan diri dengan perubahan hormon tersebut.

4) Mual
Berbeza bagi setiap individu, ada yang mula mengalaminya seawal seminggu atau 2 minggu kehamilan dan ia tidak hanya berlaku pada waktu pagi walaupun dinamakan 'morning sickness'. Biasanya ia akan hilang apabila memasuki trimester kedua, tetapi ada juga yang mengambil masa lebih lama. Ada juga yang langsung tidak mengalaminya.

3) Kelewatan haid
Jika kitaran haid anda biasanya teratur dan tidak datang pada tarikh sepatutnya, anda boleh melakukan ujian kehamilan sebelum anda mengesan tanda-tanda di atas. Jika kitaran haid anda tidak teratur atau anda tidak pasti tentangnya, rasa mual dan ketidakselesaan pada buah dada serta kekerapan membuang air kecil boleh memberi anda petunjuk sebelum anda menyedari haid anda tidak datang.

2) Peningkatan suhu badan
Jika anda biasa mencatat suhu badan, peningkatan suhu badan selama 18 hari berturut-turut juga mungkin menjadi petanda awal anda hamil.

Dan akhir sekali.....

1) Bukti - Ujian kehamilan positif
Sesetengah alat ujian kehamilan kurang sensitif dan tidak dapat mengesan kehamilan sehingga seminggu selepas haid anda tidak datang. Jadi, jika anda melakukan ujian tersebut lebih awal dan mendapat keputusan negatif, anda boleh mencuba lagi beberapa hari kemudian.

Ingat, kandungan anda berkembang sebelum anda mengetahui anda hamil. Jadi, jaga pemakanan dan kesihatan anda sementara anda menanti keputusan sama ada anda hamil atau tidak.

Dan sebaik sahaja anda mengetahui anda hamil, segera berjumpa pakar perubatan atau doktor. Good luck and have fun!

Artikel berkaitan:

Comments
0 Comments

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...